Sebagai anak jati daerah Yan ini, En. Mohd Yusoff dapat diumpamakan seperti “belut pulang ke lumpur” apabila berpindah ke sini setelah menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai TUDM. Beliau merupakan salah seorang ahli Kelab Usahawan Sosial PID Yan yang sangat aktif dan banyak menyumbangkan idea kepada semua ahli PID berdasarkan pengalaman dan ilmu yang ditimba ketika bertugas di ATM.
En. Mohd Yusoff mengusahakan perniagaan Herba Sari yang memasarkan produk-produk berasaskan pokok-pokok herba tempatan. Istimewanya, beliau memproses sendiri produk-produk tersebut dengan herba-herba yang ditanamnya atau diperoleh dari hutan Gunung Jerai. Ketika ditemubual, beliau menegaskan bahawa kesemua produk yang diusahakannya adalah 100% bahan herba dan bebas daripada sebarang bahan pengawet.
Antara produk-produk yang diusahakan oleh En. Mohd Yusoff ialah minyak kelapa dara, biskut herba, losyen kelapa dara, teh herba, kapsul herba akar kayu, dan sabun kelapa dara. Produk beliau yang mendapat sambutan hangat dari pengguna ialah minyak kelapa dara dan biskut herba kerana sangat unik rasanya dan istimewa cara pembuatannya.
Perusahaan produk herba yang diusahakan beliau turut mendapat perhatian daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain. Jabatan Pertanian, FAMA dan MARA adalah antara agensi yang turut memberi pelbagai sokongan dan bantuan kepada beliau bagi memajukan lagi industri herba ini. Terkini, beliau telah diberi kepercayaan untuk memasarkan produk-produk herba di salah sebuah lot gerai FAMA di bandar Guar Chempedak. Syabas dan selamat maju jaya.

